Episod 31
***
"Jemu lah mak. Sekarang ni, E-an cuma mahu fikirkan hal kita sahaja. Boleh ya, mak!" Erat E-an peluk maknya. Baginya inilah paling utama. Kasih sayang dia takkan dipersia-siakan oleh ahli keluarganya sendiri.
Mak angkat kepala anak manjanya itu. Rambut panjang ikal mayang diusap dengan penuh sayang. "Dengar ni sayang, walau apa pun terjadi.. Hidup perlu diteruskan. Jodoh itu Allah yang tentukan. Mungkin dahulu, E-an pernah ada ikatan dengan Erfan. Tapi takkan kerana salah sikit.., E-an mahu menghukum takdir Ilahi?"
"Tapi, mak!"
"Mak tahu yang anak mak ni sudah cukup matang untuk fikirkan baik dan buruknya. Mak yakin yang hati E-an sudah cukup pulih. Jangan lagi larikan diri daripada masalah. Hadapi." Mak bangun. Tajam sekali renungan mata mak kepada E-an.
"Now.., siap cepat. Percayalah, nak! Setiap apa yang terjadi itu ada hikmahnya. Mungkin kita sedih sekarang, manalah tahu Allah akan janjikan kegembiraan yang berpanjangan. Jangan ragui takdir Allah."
E-an terdiam. Mendalam sekali kata-kata maknya itu. Dia tahu yang akan ada hikmah di sebaliknya. Bersangka baiklah dengan takdir Ilahi. Dia pun bangkit dan menukar pakaian.
***
Pergi dapur. Hajatnya hendak tolong mak masak nasi dagang. Dah lama tak rasa nasi dagang. Terbaiklah rasa nasi dagang mak dari ladang! Kemudian, nampak mak sedang membasuh beras di sinki.
E-an lihat beras yang mak sedang gunakan, adalah beras Siam yang mahal. 4 cawan beras siam itu diletakkan dalam besen untuk dibasuh. Mak campurkan sekali dengan 1 cawan beras pulut. Kedua beras itu haruslah direndam dalam masa 2-4 jam. Ianya supaya cepat masak apabila dikukus nanti.
Usai sahaja beras itu direndam, ianya perlu dikukus dalam masa 20 minit. Mak angkat beras itu dan menggaulkannya dengan santan separuh cair hingga rata. Biarkan seketika. Masukkan lagi santan sehingga meresap dalam beras. Kemudian, kukus balik dalam 20 minit.
Sementara nak tunggu nasi masak, E-an potong bawang merah dan halia halus-halus. Buah halba turut dimasukkan untuk bagi naik bau.
"E-an bantu mak tumis kuah nasi dagang, ya!"
Asap berkepul-kepul keluar dari kukuksan. Bau aroma nasi dagang mulai berkeliaran di dapur. Enaknya!!
"Ingat lagi tak resepi kuah dia?" Mak menyoal sambil mengacau nasi dagang yang sedang dikukus. Secubit garam diletakkan bagi tambah rasa dalam nasi dagang itu.
"Cheff kan ada kat sebelah ni. Hanya tinggal tanya je,"
"Yelah tu."
Bangun. E-an terus ke peti ais. Termenung seketika. Yelah, dah lama tak masak bahan nak menumis nasi dagang. Terkedulah seketika. Aha, E-an pun keluarkan ikan tongkol, cili kering yang dah siap dikisar.
3 biji bawang merah kecil , 3 ulas bawang putih dan 1 hiris halia serta 2 hiris lengkuas dikisar sekali dengan cili kering yang sudah diblender.
Bahan rempahnya pula, E-an lebih suka ambil 1 sudu serbuk ketumbar, setengah sudu serbuk jintan manis dan jintan putih. Tak lupa 1 batang kulit kayu manis, 1 sudu kerisik ataupun orang Terengganu panggil nyiour gula.
Kesemua bahan itu digabungkan sekali dan ditumis apabila minyak sudah panas. Tak lupa bahan rahsia nak sedapkan kuah nasi dagang ini yakni rempah gulai cap bunga ros. Rempah ini hanya boleh didapati di negeri Terengganu sahaja.
Masak lama sedikit semua bahan itu sehingga naik minyak. Asam keping E-an taruk dalam 2 atau 3 keping. Kalau suka manis, boleh cuba masukkan gula melaka. Biarkan beberapa minit. Kalau yang suka belacan.. boleh ditambah letak dalam kuah ini.
"Hurrmm.. harumnya bau kuah nasi dagang ni anak mak menumis. Cakap tak pandai masak," Mak datang mengacau kuah. E-an tersenyum manis. Dia sengaja cakap begitu.
"Mana boleh kita bagitahu yang kita ni pandai dari cheff. Langgar daulat tu nanti,"
"Nakal! Santan masuk tak lagi?"
"Belum mak. Biar pecah minyak dulu. Baru sedap! Mak nak kuah cair ke pekat?" soal E-an sambil tangannya ligat mengkacau kuah nasi dagang. Secubit garam diletakkan ke dalam kuah.
"Terpulang. Ini kalau bakal mak mentua makan, konfem terus masuk merisik!"
"Mak!! Tak mahulah borak hal ni!"
Sedang leka berborak dengan mak, tiba-tiba dengar ada orang bagi salam. Suara itu dekat. Sangat dekat. E-an dan mak terkejut. Tinggal tak melatah sahaja dengan teguran itu.
"Assalamualaikum,"
Dengar suara itu, terhenti gurauan kami berdua. E-an terus berpaling. E-an terpana. Apa dia buat kat sini? Bagaimana dia boleh ada kat sini?
"Mihir?"
"Ya Allah, Mihir dah sampai ker?" Mak menyoal tanpa hiraukan wajah E-an yang terkejut habis. Apa yang Mihir buat kat sini dan pada masa ini. Bukankah Mihir sudah lama menghilangkan diri? Sejak bila pula Mihir berhubung kembali dengan keluarganya?
****
bersambung...
No comments:
Post a Comment